Google+ Followers

Bicikut - IT'S NEVER TOO LATE TO CHANGE YOUR LIFE

Ahad, 10 Oktober 2010

ETIKA INTERNET 1999 - SEKADAR INFORMASI

ETIKA PENGGUNAAN INTERNET


TUJUAN

"Etika Penggunaan Internet" atau dalam bahasa Inggerisnya dikenali sebagai "Acceptable Use Policy", ringkasnya AUP, disediakan bagi mendidik pengguna mengenai tatacara penggunaan Internet yang baik di kalangan rakyat Malaysia.


Pengguna Internet harus memahami bahawa akses Internet adalah satu keistimewaan (privileage) dan bukannya hak (right).


ASAS

Internet ialah satu rangkaian komputer dengan jutaan pengguna di seluruh dunia yang dapat berhubung, berkongsi maklumat dan melakukan penyelidikan dalam pelbagai bidang. Internet seharusnya dilihat sebagai wadah yang menyediakan ruang bagi meningkatkan tahap kebebasan mendapatkan maklumat, iaitu satu hak asasi rakyat dalam sebuah masyarakat demokratik.

Penggunaan Internet akan memberikan natijah yang baik sekiranya ia digunakan secara bertanggungjawab.

Menginsafi bahawa Internet adalah wadah global tanpa sempadan dan tanpa tapisan, adalah penting bagi rakyat Malaysia untuk menghayati "Etika Penggunaan Internet" bagi membolehkan Internet dimanfaatkan sepenuhnya demi mencapai maksud di atas.


SALAHLAKU


Perbuatan-perbuatan berikut dianggap sebagai salahlaku penggunaan Internet:

1. Menyalur sebarang bahan haram (illegal), lucah, mengancam, menekan, mengugut, menghina, memfitnah atau menabur perasaan benci sesama rakyat Malaysia atau rakyat negara luar.

2. Menggalakkan perilaku yang boleh menyebabkan kekacauan dan ketegangan di dalam dan luar negara serta pelanggaran undang-undang Malaysia dan antarabangsa.

3. Menganjurkan perbuatan yang boleh membahayakan individu, organisasi atau masyarakat secara keseluruhannya.

4. Menghantar iklan yang tidak dikehendaki ("unsolicited advertisements" atau dikenali sebagai "spam", atau sebarang bentuk amalan perdagangan yang mengelirukan (deceptive marketing). Iklan hanya boleh dihantar kepada mereka yang secara jelas memohon maklumat sedemikian.

5. Menggalakkan, membangunkan atau menjalankan aktiviti haram seperti skim cepat kaya, skim piramid, dan surat berantai.

6. Melakukan pengeboman mel (mailbombing); iaitu secara sengaja membanjiri e-mail seseorang dengan menghantar banyak e-mail yang sama atau bersaiz besar.

7. Menghantar mesej yang sama atau serupa kepada banyak "newsgroups". Perbuatan ini juga dikenali sebagai "newsgroup spams".

8. Memalsukan kepala e-mail (forged headers) bagi tujuan mengelirukan penerima.

9. Melakukan aktiviti haram seperti mengambil, menyimpan dan mengedar harta intelek, paten, rahsia perdagangan atau bahan-bahan yang dilindungi hakciptanya, atau bahan-bahan yang salah di sisi undang-undang negara dan antarabangsa.

10. Mencerobohi peralatan (hacking) yang dimiliki oleh pengguna individu, kumpulan atau organisasi lain. Bagi tujuan etika ini, perbuatan-perbuatan berikut dianggap sebagai satu pencerobohan: (a) Percubaan memasuki secara haram atau bagi menyebabkan kesulitan kepada komputer atau rangkaian komputer milik orang lain. (b) Percubaan secara tidak sah bagi mengelakkan sebarang bentuk pengesahan identiti (authorization), perlindungan,
keselamatan atau kebenaran ke atas mana-mana komputer atau rangkaian komputer milik orang lain. (c) Menghalang pengesahan identiti pengguna atau ciri-ciri keselamatan mana-mana komputer atau rangkaian komputer milik orang lain.

11. Menyebabkan gangguan perkhidmatan dan melakukan usaha bagi meningkatkan
bebanan perkhidmatan (to overload a service) dan percubaan untuk merosakkan
komputer utama (to crash the host).

12. Memberikan maklumat yang salah dan tidak benar pada sebarang borang, kontrak atau permohonan online, termasuklah menyalahgunakan nombor kad kredit.

13. Melaksanakan sebarang bentuk pemantauan rangkaian (network monitoring) bagi mencuri (intercept) data yang bukan ditujukan kepadanya.

14. Membatalkan posting yang dibuat oleh orang lain kepada mana-mana newsgroup, kecuali pengendali (moderator) yang menjalankan tugasnya.


TANGGUNGJAWAB

Pengguna wajar mengelakkan diri daripada terlibat dalam salah-laku yang tersebut di atas. Pengguna juga bertanggungjawab melaporkan sebarang bentuk penyalahgunaan Internet kepada pembekal perkhidmatan Internet (internet service providers), pihak berkuasa atau agensi penguatkuasa undang-undang bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil ke atas pesalah.


PINDAAN

Sejajar dengan perkembangan pesat dunia teknologi maklumat, "Etika Penggunaan Internet" ini akan dikemaskinikan dari semasa ke semasa, apabila terdapat keperluan.


Disediakan oleh:


Jawatankuasa Pembangunan Bandar

Majlis Belia Malaysia

Pusat Belia Antarabangsa

Jalan Tenteram, Bandar Tun Razak

Kuala Lumpur, Malaysia

Tel: (03) 973 2761 / 973 2763

Faks: (03) 973 2759

E-mail: apis@pd.jaring.my


Bertarikh : 8 April 1999

Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...